Travel ke Beijing, China

Seperti sedia maklum, Tanah Besar China menawarkan pelbagai tarikan pelancongan dan tempat-tempat yang menarik untuk dilawati. Sebut sahaja semua perkataan yang berkaitan ‘ter’ seperti terbesar, terpanjang, tertua dan sebagainya, pasti anda boleh menemuinya di China.

Bersempena cuti hari natal yang lalu, kami berpeluang untuk melawat salah satu bandaraya yang penuh dengan sejarah di China iaitu Beijing.

Memandangkan kami sedang bekerja di Tanah Besar China, kami sekeluarga berkesempatan untuk melawat Beijing dengan menaiki kereta api laju dari Shanghai pada cuti pendek tersebut.

Sekiranya anda datang dari Malaysia, anda bolehlah menempah penerbangan menggunakan laman sesawang syarikat penerbangan seperti MAS dan AirAsia. Promosi ke Beijing juga tidak kurang hebatnya, kadang-kadang untuk return flight ticket MAS KL-Beijing, anda mampu mendapat harga serendah RM999/seorang.

Anda juga boleh menggunakan lawan sesawang Skyscanner untuk mendapatkan tiket murah. Namun kami menyarankan anda menggunakan laman sesawang tempatan yang mampu menawarkan harga yang lebih murah iaitu Ctrip. Untuk pengetahuan anda, Ctrip telah membeli syarikat Skyscanner pada November 2016.

Berikut kami kongsikan pengalaman, tips-tips dan panduan ke Beijing dari segi bajet yang sederhana dan penggunaan masa dengan optimal.


Kenapa mahu ke Beijing?

Tembok Besar China di Mutianyu

Jawapannya mudah…Tembok Besar China!

Ya, antara tujuan utama kami ke Beijing adalah untuk merasai sendiri pengalaman mendaki Tembok Besar China serta melihat tinggalan hebat Kota Larangan(Forbidden City). Selain itu, Beijing juga menawarkan tempat-tempat yang tidak terdapat di bandar-bandar lain di China seperti Tiananmen Square, Temple of Heaven, Summer Palace dan juga venue-venue Sukan Olimpik 2008(Stadium Sarang Burung dan Water Cube).


Sedikit pengenalan tentang Beijing

Beijing yang sebelum ini juga dikenali sebagai Peking, merupakan ibu negara bagi Republik Rakyat China. Kombinasi seni bina moden dan tradisional, Beijing adalah rumah kepada 21.5 juta penduduk, ketiga teramai di dunia selepas 1) Shanghai 24.2 juta penduduk dan 2) Karachi, Pakistan 23.5 juta penduduk.

Terdapat 7 tapak warisan dunia UNESCO di Beijing iaitu Tembok Besar China, Kota Larangan (Forbidden City), Temple of Heaven, Summer Palace, Makam Dinasti Ming (Ming Tombs), Gua Zhoukoudian dan Terusan Beijing-Hangzhou.

Tips:

  1. Untuk perjalanan kali ini, kami menginap di Hotel Novotel yang sangat strategik dan terletak di atas Stesen Metro Chongwenmen. Sistem keretapi Metro di Beijing menghubungkan anda ke seluruh tempat-tempat tarikan pelancong dengan selesa pada harga yang berpatutan. Pastikan anda mendapatkan mendapatkan kad Metro seperti TnGo di stesen Metro Beijing.
  2. Kebanyakan tempat pelancongan di Beijing mempunyai pemeriksaan keselamatan seperti yang terdapat di setiap stesen Metro di Beijing, Shanghai dan lain-lain tempat. Pengunjung dikehendaki mengimbas beg ataupun apa sahaja barangan yang dibawa bersama. Namun pemeriksaan ini tidaklah seteliti seperti di lapangan terbang, anda tidak perlu mengeluarkan semua barang di dalam poket anda kecuali pemetik api yang perlu ditinggalkan di tempat pemeriksaan ini.

Peta Metro Beijing

*Untuk peta lengkap Metro Beijing, anda boleh klik disini.


Tumpuan utama di Beijing

1. Great Wall of China

Great Wall of China by BRJ INC

  • Location: Mutianyu. Terletak kira-kira 65km di utara Beijing.
  • Getting there: Menaiki tour bas pelancong atau menyewa kereta dengan pemandu persendirian.

Tersenarai di tempat teratas untuk perkara yang perlu anda lakukan sekiranya melawat China oleh Tripadvisor.com, terdapat beberapa perkara yang anda perlu ketahui untuk ke sana.

Tembok Besar merangkumi lebih 20,000km

Tembok besar China telah dibina sejak Tahun 220 Sebelum Masihi bagi tujuan keselamatan dan pertahanan daripada serangan pihak utara oleh Maharaja Qin (Maharaja Pertama yang berjaya menyatukan seluruh China). Berdasarkan kajian terbaru oleh China’s State Administration of Cultural Heritage, bukti menunjukkan bahawa jarak sebenar tembok besar ini adalah sejauh 21,196km panjang. Namun, hanya bahagian-bahagina tertentu di buka kepada pelancong bagi tujuan pemuliharaan dan keselamatan.

Di Beijing, terdapat dua kawasan yang kebiasaannya di lawati iaitu Tembok Besar Badaling dan Tembok Besar Mutianyu. Kedua-duanya terletak sejam perjalanan dari tengah bandar Beijing.

Tembok Besar di Beijing

Secara umum, kebanyakan pelancong akan ke Badaling kerana terdapat pengangkutan awam yang menghubungkan pusat bandar dan Badaling. Untuk ke Mutianyu, anda haruslah menukar beberapa bas untuk sampai ke destinasi. Untuk makluman, Mutianyu lebih terpelihara dan selesa untuk dilawati berbanding Badaling.

Berdasarkan kajian kami, bas awam untuk ke Mutianyu kurang sesuai untuk kami sekeluarga memandangkan masalah komunikasi dan kurangnya pengetahuan dengan laluan bas.

Kami memilih untuk mendapatkan khidmat kereta sewa dengan pemandu dari hotel ke Mutianyu dengan bayaran CNY800 untuk 8jam (Pemandu akan menunggu di kawasan pintu masuk sepanjang pendakian kami di Mutianyu).

Tips:

  1. Terdapat perkhidmatan tour bas dengan jumlah ahli kumpulan tertentu dari Novotel Hotel ke Badaling dan Mutianyu berdasarkan pakej pilihan anda. Untuk tour separuh hari, harga yang dikenakan ke Mutianyu sebanyak ~CNY300 seorang.
  2. Memandangkan kami berjalan bersama kanak-kanak 2 tahun, kami memilih kereta sewa yang lebih selesa dan tidak bergantung kepada orang lain. *Kami bertolak dari hotel selepas subuh – 6.30 pagi dan sampai di Mutianyu sebelum 8pagi. Kelebihannya, anda telah berada di atas ketika tiada pengunjung lain lagi. Keburukannya, cuaca berkabus pagi dan agak sejuk kerana masih awal pagi.

Bas pengantara antara pintu masuk ke kaki tembok besar

Kaki Tembok Besar Mutianyu

Tembok Besar Mutianyu

Tembok Besar Mutianyu

Tembok Besar Mutianyu

  • Entrance fee:Untuk bayaran masuk, seorang pengunjung dikenakan sebanyak CNY45 dan pastikan anda membawa passport untuk membeli tiket. Terdapat beberapa cara untuk naik ke puncak Tembok Besar, antaranya ialah mendaki ke atas, kereta kabel (CNY80 sehala ataupun CNY100 pergi balik) ataupun Luge(CNY80 sehala ataupun CNY100 pergi balik).
  • Plan to stay: 3-4 jam jika anda tidak bercadang untuk mendaki ke semua menara. Sila tambahkan perjalanan sejam pergi dan sejam pulang.

Mutianyu – Menara 1 hingga Menara 23

Tembok Besar Mutianyu

2. Tiananmen Square

Merupakan salah satu tempat yang perlu di lawati sekiranya anda berkunjung ke Beijing, dataran ini terletak betul-betul di tengah pusat bandar dan di hadapan Kota Larangan.

Memandangkan kawasan ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri, kawalan keselamatan yang ketat diletakkan di setiap pintu masuk dataran ini. Namun, anda tidak perlu risau kerana langkah ini adalah untuk menjaga dan mengawal keselamatan pengunjung di kawasan tumpuan utama ini.

 

Dataran Tiananmen

Tips:

  1. Tiada bayaran dikenakan namun setiap pengunjung perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat untuk masuk ke dataran ini. Barisan yang panjang serta masa beratur yang agak lama perlu diambil kira sekiranya anda ingin melawat kawasan ini. Pada hujung minggu, anda mungkin harus beratur sehingga setengah jam untuk melepasi tapisan keselamatan.
  2. Memandangkan dataran ini hanya sebuah dataran yang luas, kami menyarankan anda melawatnya di pagi hari dan terus memasuki kota larangan di hadapan dataran ini.

3. Kota Larangan (Forbidden City)

Mengikut sejarah, Kota Larangan merupakan istana bagi seramai 24 orang Maharaja China untuk berkurun lamanya sehinggalah terbentuknya Republik Rakyat China pada tahun 1924 seperti yang anda boleh tonton di dalam filem The Last Emperor.

Di bina dari tahun 1406 sehingga 1420, Kota Larangan yang telah dijadikan muzium diraja dan tapak warisan dunia mempunyai sebanyak 980 bangunan di dalamnya merangkumi kawasan seluas 180 ekar.

Bagi anda yang berminat untuk melawat keseluruhan kota larangan, anda perlu mengikuti laluan satu hala dari pintu utama di selatan (A – Meridian Gate) merentasi dataran ke utara (B – Gate of Divine Prowess) ataupun memilih laluan pendek ke timur selepas dataran dan keluar di D – Donghuamen.

Keseluruhan Kota Larangan

  • Location: Terletak di Line 1 antara Stesen Tiananmen West and Stesen Tiananmen East
  • Entrance Fee: April ke Oktober – CNY60, Nov ke Mac – CNY40.
  • Opening Hours: April ke Oktober – 8.30pg sehingga 5.00ptg (Tiket dijual sehingga pukul 4ptg – Last entry: 4.10ptg), Nov ke Mac – 8.30pg sehingga 4.30ptg (Tiket dijual sehingga pukul 3.30ptg – Last entry: 3.40ptg)
  • Plan to stay: 3-4 jam bermula dari beratur panjang dan perjalanan satu hala di dalam kota larangan ini. Namun sekiranya anda berminat untuk masuk ker Treasure Gallery dan Clock&Watch Gallery, tambahan masa diperlukan.

Tiket masuk

Donghuamen Gate

Tips:

  1. Ditutup pada hari isnin
  2. Percuma untuk kanak-kanak di bawah 1.2m, umur 6-18 tahun dikenakan CNY20.
  3. Muzium ini hanya menampung seramai 80,000 orang sehari. Siapa cepat dia dapat.
  4. Passport diperlukan untuk membeli tiket.

4. Stadium Olimpik 2008 dan Water Cube

Selain dari bangunan-bangunan sejarah, Beijing juga merupakan lokasi utama Sukan Olimpik Musim Panas 2008. Antara ikon penting untuk kejohanan ini ialah Stadium Sarang Burung dan Pusat Akuatik Nasional, Water Cube.

Fakta Menarik:

  1. Stadium Sarang Burung ini mampu menahan gempa bumi sehingga 8 Skala Richter magnitud-Gempa Bumi Acheh = 6.4 Skala Richter.
  2. Pada kemuncak pembinaan, seramai 9000 orang pekerja digunakan pada waktu itu.
  3. Pembinaan stadium ini melibatkan seramai 4707 penduduk dipindahkan dari 2043 rumah di sekeliling kawasan ini.
  • Location: Terletak di Metro Line 8 Stesen Olimpic Sport Centre
  • Fee: Kawasan luar stadium adalah percuma
  • Plan to Stay: Sejam untuk berjalan-jalan dan bergambar

4. Masjid Besar Niujie

Sekiranya di Xi’an terdapat Masjid Agung Xi’an, Beijing juga mempunyai masjid besarnya yang tersendiri. Di bina pada tahun 996 Masihi, masjid ini telah dipelihara, dibaik pulih dan diperbesarkan serta terus mengekalkan seni bina tempatan yang kekal sehingga hari ini.

Apa yang menariknya disini, anda boleh mendapatkan makanan halal dengan mudah kerana terdapat begitu banyak kedai-kedai makanan halal di sepanjang jalan menuju ke masjid. Malah, terdapat juga supermarket muslim yang menjual semua barangan keperluan asas yang dijamin halal.

Kawasan Masjid Besar Niujie

Dewan Solat

Jangan pelik kerana kebanyakan masjid di China, anda akan duduk dan berdiri untuk solat di atas alas/permaidani dan sujud di atas tempat biasa yang sama sekali berbeza dengan cara di negara kita. Logik disebaliknya, ketika musim sejuk, lantai masjid lebih sejuk dari biasa dan anda memerlukan permaidani yang sesuai untuk ‘duduk’ yang lebih lama.

  • Location: Terletak di Metro Line 4 & 7 Stesen Caishikou
  • Fee: Percuma
  • Plan to Stay: Solat dan makan-makan

IMG_1061

Kedai Makanan Halal

Supermarket Muslim


Lain-lain tumpuan di Beijing

Terdapat banyak lagi tempat-tempat lain yang menarik di Beijing. Memandangkan masa kami yang amat terhad dan terbatas, kami hanya menumpukan tempat-tempat yang khas dan hanya terdapat di Beijing. Tempat-tempat lain seperti Temple of Heaven dan Summer Palace juga sesuai untuk dilawati sekiranya anda mempunyai masa.

Kebanyakan tempat tarikan lain adalah di sekitar Beijing dan senang untuk dikunjungi.

Lain-lain tumpuan kami rasakan optional, bergantung pada objektif dan berapa banyak masa yang anda ada.

Dan sudah tentu bergantung pada bajet yang anda sanggup keluarkan.


Shopping di Beijing

Memandangkan kami menetap di Shanghai, shopping di Beijing bukanlah objektif utama kami. Kebanyakkan barangan Made in China boleh juga didapati di Shanghai dan akan dikupas dengan lebih mendalam dalam posting akan datang.

Jika anda ingin shopping, anda boleh mendapatkannya di kawasan Jalan Wangfujing, Jalan Qianmen dan Xidan.


Pengangkutan di Beijing

Seperti bandar besar yang lain, anda boleh mendapatkan kad untuk Metro di stesen-stesen metro dan di lapangan terbang. Stesen-stesen Metro di Beijing kebanyakannya agak berusia dan kurang mesra stroller serta orang tua. Bersedia untuk mendaki tangga dan berjalan dalam keadaan yang agak sesak.


Masa yang sesuai melawat Beijing

Beijing terletak di kawasan yang agak terkesan dengan jerebu dan kekerapan jerebu tersebut lebih ketara pada musim sejuk iaitu dari bulan 11 sehingga bulan 1. Ketika lawatan singkat kami tempoh hari, Beijing baru sahaja menarik balik amaran tahap merah untuk jerebu peringkat tertinggi selama seminggu.

Pastikan anda memeriksa laporan cuaca kerana musim sejuk di Beijing sememangnya amat sejuk sehingga baju sejuk yang betul-betul tebal diperlukan.

 

Berikut maklumat cuaca sewaktu kami ke sana di bulan Jan 2017:

  • Average Temperature: -10°C / Low; 3°C High
  • Season: Winter

Bajet ke Beijing

Exchange rate: CNY100 = RM65

  1. Flight ticket: N/A
  2. Visa: RM88
  3. Accommodation: CNY400~RM260 (2 night/pax)
  4. Transportations:
    • Metro: CNY40 ~ RM26 (anggaran kasar)
  5. Food & drink: CNY300 ~ RM195(3 hari)
  6. Kereta Sewa: CNY800 ~ RM520
  7. Entrance fees:
    • CNY145 ~ RM94 (Great Wall dan kereta kabel)
    • CNY40 ~ RM26 (Kota Larangan)

Misc:

  1. Souvenir: –
  2. Shopping: –

TOTAL: RM1,297 tanpa tiket kapal terbang

 

Note:

  1. Matawang China (Yuan). Untuk memudahkan pengiraaan, kami bundarkan CNY100=RM65 di dalam post ini.
  2. Anggaran bajet berdasarkan tempoh masa 3 hari 2 malam.
  3. To be safe; tambah 10% peratus dari jumlah bajet kerana anggaran di atas adalah secara kasar.

Kesimpulan dari travel ke Beijing

Tempoh masa yang ideal untuk ke Beijing adalah 5-7 hari. Memandangkan matlamat kami telah tercapai dalam masa yang singkat ini, kami amat berpuas hati dan bersyukur.

Secara umum, penginapan berpatutan dan sangat strategik. Metro juga amat mudah dan senang untuk di fahami.

Cuaca di Beijing sangat sejuk pada musim sejuk. Pastikan anda membawa pakaian yang secukupnya.

Beijing mampu menawarkan bermacam-macam pengalaman menarik sekiranya anda betul-betul mempunyai masa yang cukup dan mahu meneroka dengan lebih dalam. Makanan dan membeli belah juga merupakan pilihan ramai ketika di Beijing. Apa lagi, tepuk dada, tanya selera!

2 comments on “Travel ke Beijing, China”

  1. klis says:

    Terima kasih entry yang sangat berinformatif, saya bersama rakan akan ke Beijing 19 Jan nanti selama seminggu sahaja..

    1. kakitravel365 says:

      terima kasih cik klis, jika terdapat sebarang pertanyaan sebelum ke Beijing..sgtlah dialu-alukan dan kami cuba share..selamat travel dan kembali..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *